bismillah
Sesuatu untuk dikongsi....
Pada hari Jumaat, tanggal 29 Mei yang lalu, sekali lagi saya diuji oleh Allah SWT. Apa yg berlaku itu terlalu sukar untuk dilupakan. Kejadian itu benar-benar menyentuh hati saya sebagai ibu, juga sebagai hamba kepada Khaliq Yang Agung....
Ketika mengambil si kecil di taska, saya dimaklumkan oleh pengasuh bahawa dia demam. Patut lah dia menangis sejurus selepas saya keluar dari kereta sambil melambai-lambaikan tangan kepadanya. Apabila saya meletakkan tangan ke dahinya,memang teramat panas sekali. Sepanjang usianya yang belum mencecah 3 tahun itu, baru kali inilah saya merasakan kepanasan yang terlalu tinggi pada tubuhnya. Namun dia masih lagi mampu berjalan dan bermain ketika itu. Saya juga dimaklumkan bahawa dia telah muntah sebelum itu. Saya mengambilnya dan terus ke kereta. Ketika itu jam sudah hampir 6:30pm. Suami menelefon dan saya sempat menceritakan keadaan si kecil. Sambil berbual (saya memberhentikan kereta di tepi jalan), saya perhatikan anak saya seperti terlalu mengantuk. Dia seperti orang yg sedang khayal dengan mata yang sekejap terpejam dan sekejap terbuka. Saya bertanya kepadanya, "Adik nak tido ke?". Dia menjawab, "Takkk".
Setelah tamat perbualan bersama suami, saya terus ke sekolah agama untuk mengambil anak yg sulung. Apabila tiba sahaja di sekolah, saya mengunci kereta dan membawa si kecil ke kedai untuk membeli sebotol air mineral bagi membasuh muka serta kepalanya agar dapat menurunkan suhu badan. Belum sempat saya membuat pembayaran, dia telah pun muntah di kedai tersebut. Saya terus membersihkan mukanya serta membasahkan kepalanya. Ketika itu juga, anak yg sulung telah hampir kepada kami dan saya bergegas membawa anak-anak pulang. Di dalam perjalanan, saya lihat si kecil terlalu lemah. Dia terlena. Saya sempat bertanyakan pendapat suami untuk membawanya ke klinik. Suami bersetuju dan saya meneruskan perjalanan ke klinik yang berdekatan dgn rumah kami. Di klinik, doktor mengatakan bahawa suhu badannya mencecah ke 40 deg C. Lantas, doktor memasukkan ubat melalui duburnya agar suhu badannya turun dgn cepat....
Saya merasa sedikit lega dgn keadaannya. Saya berkata kepada yg sulung bahawa saya perlu singgah ke pasar malam untuk mencari keperluan dapur serta juadah untuk kami makan malam. Saya tinggalkan mereka di dalam kereta bersama salah sebuah telefon bimbit saya, dengan harapan agar yg sulung dapat menelefon saya jika berlaku sesuatu yang tidak diingini (Saya berdoa agar tidak berlaku perkara sebegitu). Saya membeli juadah makan malam terlebih dahulu. Tiba-tiba telefon bimbit saya berdering. Anak saya menelefon. Hati saya mula berdebar-debar. Mujurlah dia menelefon hanya untuk meminta kebenaran untuk menghantar mesej kepada guru tusyennya. Saya sempat bertanyakan keadaan adiknya. "Adik OK", kata si abang. Saya meneruskan urusan mencari keperluan. Oleh kerana tangan saya sarat dengan barangan, terdetik di hati ini untuk ke kereta bagi menghantar barangan yang telah saya beli di samping untuk menjenguk si kecil. Saya berniat untuk membeli barangan dapur setelah itu.
Apabila membuka sahaja pintu kereta (pemandu) untuk meletak beg tangan saya di sebelah, saya terkejut dengan jeritan si abang. "Ibuuu, adiiik! Ibuuuu, adiiikkkk! Tengok adik buuu...". Saya menoleh ke belakang. Dalam masa yang sama, anak saya yg sulung keluar dari pintu kereta dlm keadaan histeria! Oleh kerana waktu itu sudah melepasi jam 7:00 malam, saya tidak dapat melihat dgn jelas apa yang berlaku pada anak kecil itu. Saya cuma terkejut dgn jeritan si abang. Saya menutup pintu kereta, beg-beg plastik masih lagi di tangan saya. Lantas saya berpusing ke belakang kereta dan sempat menjerit ke arah abg. Saya sendiri kebingungan dengan kelakuannya. Saya katakan, "Syahmy!" Syahmy nak biar adik sorang-sorang je ke? Ya Allah...", sambil membuka pintu kereta belakang (sebelah kiri). Saya benar-benar terkejut apabila melihat keadaan si kecil yang menggelupur kaki dan tangan dengan mata yang terbeliak ke atas. "Astaghfirullah, adik.... Ya Allah.. Kenapa ni dik...?" Hanya itu yang mampu saya ucapkan ketika itu. Saya mencampakkan beg-beg plastik berisi barangan dari pasar malam ke dalam kereta. Saya terus memeluk si kecil. Saya tahu saya kena berfikir dan bertindak pantas ketika itu. Saya katakan pada yang sulung agar menutup pintu kereta serta menguncinya. Saya juga meminta dia mengambil beg duit saya yang berada di dalam beg tangan. Apa yang terlintas di fikiran saya ialah untuk membawa anak saya kembali ke klinik. Saya merasakan saya tidak mampu memandu kereta ketika itu memandangkan si abang yang masih lagi ketakutan serta keadaan si adik yang sangat memerlukan dakapan saya. Saya nekad berlari ke klinik! Saya meminta si abang untuk ke klinik terlebih dahulu dan memberitahu doktor akan kedatangan kami (saya anggarkan jaraknya hampir 150m dari tapak pasar malam).
Untuk kembali ke klinik, saya terpaksa melalui kawasan pasar malam yang dipenuhi dengan orang ramai. Saya sedar ramai yang terpinga-pinga memerhatikan keadaan saya ketika itu. Saya benar-benar mengharapkan pertolongan dari Allah SWT. Saya menggendong anak saya rapat ke dalam pelukan saya. Kepalanya di sebelah kanan badan saya. Kalimah La ila ha illallah dan syahadah tidak henti-henti saya bisikkan ke telinganya. Di dalam hati saya berdoa agar Allah selamatkan anak saya.
Secara tiba-tiba saya merasakan badannya semakin ringan. Saya mula merasakan bahawa klinik begitu jauh sekali. Kaki saya pula semakin lemah. Sesekali larian saya terhenti, namun saya meneruskan juga perjalanan. Saya berdoa agar saya dapat sampai ke klinik secepatnya. Ketika saya berada dalam jarak 40m dari klinik, anak saya semakin lemah dan terkulai. Saya benar-benar pasrah ketika itu. Saya katakan di dalam hati, "Ya Allah, aku reda seandainya Engkau ingin menjemput dia ke pangkuanMu Ya Allah". Saya benar-benar reda. Saya meneruskan perjalanan ke klinik. Sampai sahaja di klinik, doktor bertanyakan apa yg terjadi kepada anak saya. Dalam nada yang tercungap-cungan serta perlahan, saya mengatakan anak saya menggelupur dan kaku. Saya membaringkan anak saya di bilik rawatan seperti yg diarahkan oleh doktor. Saya tersandar di tepi dinding bilik tersebut sambil memandang anak saya. Air mata saya mula menitis dan akhirnya semakin laju!
"Sawan", kata doktor. "Biasa terjadi jika suhu badan terlalu panas", tambahnya lagi. Saya sudah tidak mampu berkata apa-apa lagi ketika itu. Saya hanya memerhatikan Pembantu Klinik membasahkan kepala serta badannya sambil memicit-micit badannya. Dia masih tidak bersuara meskipun matanya terbuka. Pembantu Klinik memanggil-manggil namanya. Saya mendekatinya serta mengusap kepalanya. Di dalam hati, saya rasa amat bersyukur kerana saya masih diizinkan oleh Allah untuk bersamanya. Tidak lama kemudian, dia menggerakkan tangannya. Alhamdulillah. Dia sudah 'kembali' ke alam nyata.
Setelah mendapati dia telah sedar, saya menunaikan solat maghrib di klinik tersebut. Selepas berdoa, saya terdengar suara si kecil itu ketawa. Alhamdulillah. Dia sudah pulih, hanya badannya sahaja yang terlalu lemah. Saya membawanya pulang ke rumah. Di dalam kereta, si abang terus bercerita tentang ketakutannya melihat keadaan si adik.
Air mata saya keluar tanpa hentinya sepanjang perjalanan ke rumah. Saya terlalu sedih dengan apa yang berlaku. Sejujurnya saya memang mudah menitiskan air mata. Selepas kejadian itu, saya menjadi trauma beberapa hari. Saya akan mengalirkan air mata setiap kali teringat apa yang telah berlaku. Saya sedar Allah sedang menguji lagi. Sebagai ibu, saya benar-benar tersentak dengan apa yg berlaku. Saya mula tertanya-tanya apakah yang Allah ingin tunjukkan kepada saya? Saya tidak pasti. Mungkin saya telah bertindak tidak adil kepada anak-anak selama ini. Mungkin saya telah melakukan cara yang tidak betul dalam melayan kerenah anak-anak saya. Maka, Allah 'pinjam' anak saya untuk beberapa ketika. Saya sedar, ada yang perlu saya ubah. Saya sendiri tidak berapa jelas, cuma saya yakin saya perlu membuang tabiat yang tidak elok terhadap anak-anak. Saya perlu lebih sabar dengan tingkah laku anak-anak terutama ketika saya berada di dalam keadaan tertekan. Saya tidak perlu menjadikan anak-anak sebagai tempat saya melepaskan kemarahan. Saya perlu berubah!
Saya memang sangat bersyukur kerana Allah masih beri peluang kepada saya untuk menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak saya. Alhamdulillah. Saya akan berusaha sedaya mungkin untuk menjadi ibu yang terbaik untuk mereka. Insya Allah..
Wednesday, June 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment