http://www.ikimfm.my/

Thursday, July 2, 2009

Menawan hati isteri

Bagi lelaki, adakalanya mereka sukar menelah isi hati wanita yang pernah menjadi kekasihnya dan kini muncul sebagai suri dalam hidup insan bernama suami.

Hakikatnya, mengenali hati wanita bukan payah kalau anda tahu ‘kuncinya’. Bahkan isteri bukan mendambakan yang hebat-hebat atau sesuatu yang bertaraf eksklusif semata-mata.

Cukup sekadar biasa saja, tetapi dilakukan dengan penuh keikhlasan dan rasa kasih yang mendalam oleh suami, pasti hatinya berbunga gembira.
Panduan berikut mungkin mampu menjadi amalan anda untuk isteri tercinta supaya keutuhan cinta terus bertahan lama. Jika anda mampu mendalaminya, pasti anda menjadi lelaki yang paling disanjungi isteri.
1. Telefon isteri dari tempat kerja untuk bertanya khabar, memberitahu sesuatu yang menarik atau sekadar ingin menyatakan ‘I love you’. Gunakan teknologi yang ada kini sepenuhnya. Sering menelefon atau menghantar e-mel untuk menunjukkan bahawa dia sering di hati kamu.

Bagi wanita, walaupun hanya satu ungkapan atau ayat, ia sangat berharga dan rasa begitu bahagia menerimanya.

2. Ucapkan kata-kata sayang sekurang-kurangnya dua kali sehari.

3. Tolong kemaskan katil dan bilik tidur.

4. Tolong terbalikkan stoking atau seumpamanya untuk memudahkan isteri mencuci. Tolong buang sampah tanpa disuruh.

5. Apabila keluar daerah, telefon isteri untuk memberitahu nombor telefon tempat penginapan dan memberitahu yang anda sudah selamat sampai.

6. Tunjukkan kepimpinan yang baik, suami adalah ketua rumah tangga dan pendidik.

7. Berbincang dari semasa ke semasa, jangan ketepikan pendapat isteri. Berkongsi masalah dengan mereka, sekurang-kurangnya membuatkan mereka rasa penting dalam diri anda.

8. Sentiasa kemas, anggun dan wangi sebelum tidur bersama.

9. Sokong pendapat isteri jika dia bertentangan pendapat dengan orang lain, tetapi perlulah secara rasional. Sekiranya pendapat isteri salah, betulkan.

10. Urut isteri dari semasa ke semasa.

11. Peluk dan belai isteri sekali-sekala tanpa implikasi seksual.

12. Sabar dan tenang apabila mendengar cerita serta masalah isteri.

13. Pamerkan kasih sayang apabila di khalayak ramai. Jangan abaikan isteri atau tinggalkannya jauh bila berjalan.

14. Apabila berpegang tangan, jangan biarkan tangan longlai.

15. Buatkan air minuman atau seumpamanya sekali-sekala.

16. Apabila makan di luar, jangan harapkan isteri saja yang memilih tempat untuk makan.

17. Sabar apabila isteri terlambat sedikit atau dengan tiba-tiba ingin menukar baju yang dipakai atau menukar rancangan.

18. Beri perhatian yang lebih pada isteri daripada orang lain di khalayak ramai.

19. Lebihkan isteri anda daripada anak-anak.

20. Belikan hadiah kecil dari semasa ke semasa seperti minyak wangi dan jam. Kad ucapan juga dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang dengan isteri.

21. Apabila Aidilfitri tiba, jangan beri duit raya kepada anak-anak saja, tetapi beri juga kepada isteri.

22. Perempuan inginkan perhatian dan kasih sayang, terutama daripada yang disayangi. Oleh itu tunjukkan sifat keprihatinan dan kasih sayang yang tidak ternilai kepada mereka.

23. Jangan ambil mudah perkara yang amat penting bagi wanita. Wanita cukup kuat mengingati tarikh penting contohnya hari ulang tahun. Sesekali, buatlah kejutan supaya mereka rasa lebih disayangi.

24. Jangan kedekut memberi pujian kerana mereka berhak menerima pujian.

25. Wanita juga ada ego terselit di celah kelembutan mereka. Apabila mereka rasa terancam atau tercabar, lahirlah sifat marah, cemburu dan cepat merajuk.

Masalah timbul bila mereka suka memendam perasaan dan ‘meletup’ suatu hari. Tetapi sebagai lelaki, usah sama-sama meletup. Cuba selesaikan masalah dalam keadaan terkawal dan fikir secara positif misalnya, mencari punca wanita cemburu atau marah.

No comments:

Post a Comment


MyHotcomments.com